Wajib Taksir (5)

Kewajipan individu dalam proses wajib taksir ini ada dua;

i) Individu dikehendaki mengemukakan maklumat pendapatan masing-masing untuk dibuat taksiran. Sebaik sahaja mana-mana individu muslim mendapat permintaan daripada Majlis Ugama Islam Pahang atau Pusat Kutipan Zakat Pahang supaya memberikan maklumat pendapatannya, maka individu tersebut perlulah mengemukakan maklumat pendapatan yang sebenarnya kepada MUIP atau PKZ mengikut kaedah yang ditetapkan.
Jika individu berkenaan tidak memberikan maklumat atau memberikan maklumat yang palsu maka, ianya merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 24 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 Negeri Pahang

ii) Mana-mana individu yang didapati wajib membayar zakat tetapi tidak membayarnya atau membayar kepada bukan Amil yang dilantik oleh Majlis Ugama Islam Pahang, maka ianya merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 40 Enakmen Jenayah Syariah 2013 Negeri Pahang.

Pertama
Memberikan maklumat mengenai kakitangan atau pekerja masing-masing untuk tujuan penghantaran maklumat atau apa saja yang berkait dengan urusan zakat oleh Majlis Ugama Islam Pahang atau Pusat Kutipan Zakat Pahang.
Sekiranya majikan tidak berbuat demikian maka ianya merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 25(2) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013.

Kedua
Majikan perlu menyediakan kemudahan kepada kakitangan atau pekerja bagi membuat bayaran zakat seperti yang dikehendaki oleh Majlis Ugama Islam Pahang atau Pusat Kutipan Zakat Pahang.
Sekiranya majikan tidak berbuat demikian atau gagal melaksanakan tanggungjawab tersebut maka ianya merupakan kesalahan di bawah seksyen yang sama.

Wajib Taksir Zakat dan Wajib Membayar Zakat adalah dua perkara yang berbeza dari sudut undang-undang sebagaimana yang disebut di dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pahang 2013.
Wajib Taksir Zakat adalah setiap individu perlu mengemukakan maklumat pendapatan masing-masing bagi tujuan taksiran zakat. Sekiranya seseorang diminta oleh Majlis Ugama Islam Pahang atau Pusat Kutipan Zakat Pahang supaya mengemukakan maklumat pendapatan masing-masing, dan individu tersebut gagal atau enggan memberikannya maka ia telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 24 enakmen tersebut.

Wajib Membayar Zakat pula adalah apabila seseorang telah membuat kiraan atau taksiran zakat dan didapati mencukupi syarat wajib membayar zakat tetapi enggan atau sengaja tidak membayar zakat, maka individu tersebut telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 40 enakmen tersebut.

Arahan Wajib Taksir Zakat Pendapatan ini adalah selaras dengan peruntukan undang-undang yang termaktub di dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 Negeri Pahang iaitu:
a) Seksyen 24 - Enggan memberi taksiran pendapatan
b) Seksyen 40 - Tidak membayar zakat atau fitrah

Page 1 of 2